Picture

Sejarah al-Azhar secara umum

Al-Azhar adalah sebuah universiti Islam pertama di dunia yang telah diasaskan oleh Khalifah Aziz Billah. Masjid Al-Azhar telah dimulakan pembinaannya pada tanggal 4 April 970 M di ibu negara Mesir, Kota Kaherah. Kerja-kerja pembinaannya selesai pada hari Jumaat 22 Jun 972 M. Pada tahun 988 Masihi seorang wali kerajaan Abbasiyyah di Mesir - Yaakub bin Kals telah mencadangkan kepada pemerintah zamannya iaitu Khalifah Aziz Billah untuk menjadikan masjid tersebut sebagai sebuah Jamiah (universiti) yang menawarkan pelbagai bidang ilmu pengetahuan.

Pelajar Melayu telah mula merantau ke Al-Azhar sejak tahun 1918 lagi. Sejarah perjuangan penuntutan ilmu di kalangan pelajar-pelajar Melayu di Mesir telah berpusat di Kaherah daripada tahun 1918 sehinggalah ke tahun 1991 apabila 18 orang mahasiswi mula dihantar ke cawangan Al Azhar di Iskandariah. Ini bermakna perjuangan pelajar-pelajar Melayu terutamanya pelajar-pelajar daripada tanah nusantara sehinggalah pelajar Malaysia kini telah berpusat di Kaherah selama 73 tahun sebelum mereka dipecahkan ke muhafazah-muhafazah (cawangan) yang pelbagai bermula tahun 1991 dan 1992 kepada 4 muhafazah iaitu Damanhur, Tanta, Shibin el Kom dan Mansurah. Pada tahun 1994 pula, Mahasiswa Malaysia telah dihantar ke 2 buah muhafazah lain iaitu Dumyat dan Zaqaziq.

Universiti Al-Azhar Cawangan Mansurah

Universiti Al-Azhar Mansurah adalah salah satu cawangan dari Universiti Al-Azhar yang berpusat di Kaherah.Bermula pada tahun 1992, penghijrahan pelajar Malaysia ke bumi Mansurah membawa seribu kenangan pahit manis yang tidak dapat dilupakan. Al-Azhar Mansurah menyediakan dewan kuliah bagi siswa dan siswi secara berasingan.

Fakulti siswa bertempat di sebelah Murur manakala fakulti siswi bertempat di Dirasat. Menyentuh mengenai sistem pembelajaran di Universiti Al-Azhar Mansurah, terdapat perbezaan antara Universiti Al-Azhar dan universiti tempatan di Malaysia. Dari sudut bahasa,bahasa penghantar yang digunakan adalah bahasa Arab sepenuhnya. Manakala sukatan pelajaran adalah sama dengan pelajar Arab lain dan tidak wujud perbezaan antara pelajar asing dan pelajar tempatan.

Pada setiap hari kuliah akan dijalankan melainkan pada hari Jumaat. Jika ditinjau, seawal jam 8.30 pagi sudah ramai siswa dan siswi yang berpusu-pusu menuju ke kuliah masing-masing bagi mengutip mutiara hikmah yang akan diajarkan oleh Doktor di kuliah sehinggalah lewat jam 3 petang.

Kesungguhan ini menjadi medan ujian bagi ikhwah mahupun akhawat yang bakal bergelar graduan Al-Azhar walaupun terpaksa berhadapan perubahan cuaca yang bermusim di bumi Anbiya' ini. Bidang pengajian yang ditawarkan di Universiti Ál-Azhar Mansurah ialah Fakulti Usuluddin dan Fakulti Bahasa Arab bagi siswa. Manakala bagi siswi pula Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab yang meliputi Jabatan Usuluddin, Jabatan Bahasa Arab dan Jabatan Syariah Islamiyah.

0 Response for the "Sejarah al-Azhar asy-Syarif Bil-Mansurah"